Festival Bon Odori di Malaysia perayaan kebudayaan, Sultan Selangor ‘cadang’ Idris turun padang

Festival Bon Odori di Malaysia perayaan kebudayaan, Sultan Selangor ‘cadang’ Idris turun padang

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak mahu menteri agama itu menggunakan platform Jakim untuk membuat kenyataan mengelirukan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kepada Idris Ahmad supaya menghadiri festival Bon Odori di Shah Alam bagi memahami perbezaan antara agama dan budaya.
PETALING JAYA:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad supaya menghadiri festival Bon Odori di Shah Alam untuk “memahami perbezaan antara agama dan budaya”.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu menteri itu menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat “kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasinya.”

Idris menimbulkan kontroversi pada Isnin apabila beliau memberitahu supaya umat Islam tidak menyertai perayaan musim panas masyarakat Jepun, festival Bon Odori, dengan mendakwa perayaan itu “dipengaruhi unsur agama lain”.

Festival tahunan itu yang dianjurkan oleh masyarakat Jepun di Malaysia kembali diadakan semula selepas berehat selama dua tahun disebabkan wabak Covid-19. Ia akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai dan Pulau Pinang pada 30 Julai.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan ini pada 2016 diiringi duta besar Jepun ke Malaysia dan menerusi pemerhatian, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikan.

Titahnya, baginda tidak mahu pihak tertentu khususnya ahli politik menggunakan isu menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata.

Baginda menggesa mereka agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam.

Semalam, Sultan Sharafuddin mengarahkan pegawai Jais dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menghadiri festival berkenaan bagi “melihat sendiri” apa yang berlaku.

Baginda ketika mengulas lanjut, bertitah festival Bon Odori sudah diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun, adalah hanya satu perayaan kebudayaan.

Titah baginda, di Malaysia, khususnya di Selangor, Bon Odori diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah di antara rakyat Malaysia dengan komuniti masyarakat Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Titahnya, perayaan ini menjadi popular apabila banyak syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Selangor.

Justeru, Bon Odori menjadi platform memperkenalkan budaya hiburan Jepun di samping merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.