
Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) Mediha Mahmood berkata, Kod Kandungan 2022 yang digubal pihaknya itu bertujuan bagi mengelak salah guna hujah dan unsur eksploitasi agama yang digunakan pengiklan atau pemilik produk untuk memikat hati pengguna.
Katanya, larangan itu terpakai kepada semua agama, bukan hanya agama Islam bagi melarang penyalahgunaan agama dalam iklan sebagai gimik pemasaran untuk melariskan jualan produk.
Beliau berkata, perubahan itu dibuat bagi menjaga kesucian dan sensitiviti agama, selain mengelakkan salah tanggapan orang ramai terhadap agama.
“Perubahan yang dicadangkan antaranya bagi menangani kandungan menghasut atau provokasi, tindakan kekerasan berdasarkan jantina, selain melarang penyalahgunaan agama dalam iklan. Peruntukan baharu ini akan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.
“Contohnya produk yang didakwa dibacakan al-Quran dan boleh menyembuhkan penyakit dan produk kecantikan mesra wuduk. Jika benar dakwaan itu, penjual perlu menjelaskan lebih terperinci dan membuktikan kesahihan tuntutan yang dibuat itu,” katanya seperti dipetik oleh Berita Harian, hari ini.
Forum Kandungan yang ditubuhkan secara rasmi pada 2001 adalah sebuah badan pemantau di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang terletak di bawah SKMM.
Madiha berkata, pada awalnya Forum Kandungan mencadangkan perubahan dalam kod etika berkenaan dilaksanakan tahun lalu bersama perubahan lain.
Katanya, sesi rundingan awam juga telah dilaksanakan bagi mendapat maklum balas orang ramai mengenai draf Kod Kandungan 2022.
Beliau juga mengingatkan semua pihak agar berhenti menggunakan agama sebagai gimik pemasaran untuk menarik pelanggan dan melariskan jualan.
Bagaimanapun katanya, kod kandungan yang akan dikuatkuasakan itu tidak menghalang tokoh atau selebriti agama daripada menjadi jurucakap sesuatu produk.
“Apa yang dilarang hanyalah mereka tidak boleh lagi membuat dakwaan atau tuntutan yang mengelirukan atau memperdaya pembeli dengan dakwaan agama.
“Perubahan dan larangan itu bukan sahaja untuk melindungi pengguna, tetapi disebabkan pihak kami mendapati banyak aduan dan isu dibangkitkan membabitkan perkara ini,” katanya.