Terima kasih tetapi PBS kekal bersama GRS, Ongkili beritahu Warisan

Terima kasih tetapi PBS kekal bersama GRS, Ongkili beritahu Warisan

Kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) susulan pelawaan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal mahu bekerjasama menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Maximus Ongkili berkata, PBS sangat komited kepada GRS selepas Shafie Apdal menjemput parti itu bekerjasama dengan Warisan.
PETALING JAYA:
Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak tawaran untuk bekerjasama dengan Warisan sebaliknya mahu terus kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini mentadbir negeri itu.

Presiden PBS, Maximus Ongkili berkata, partinya dianggap sebagai salah satu pengasas GRS serta menyifatkannya sebagai “murni dan berkekalan”, dalam gabungan “berasaskan rakyat”.

“Kami menjemput Warisan dan penyokong untuk berjuang dengan matlamat sama, iaitu bersama membangunkan Sabah serta menjamin negeri yang makmur dan selamat, bebas daripada pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam kenyataan.

Maximus menggesa parti politik di Sabah supaya kembali ke akar umbi asas politik negeri itu ketika menyertai Malaysia pada 1963.

Beliau berkata, parti Sabah harus menyasarkan “kesatuan politik” seperti yang dicapai oleh parti politik terdahulu semasa penerimaannya sebagai sebuah negeri dalam Malaysia pada 1963 dan cita-cita seperti itu harus diteruskan dengan solidariti bersama negeri jiran, Sarawak.

“Mana-mana parti politik Sabah boleh menyokong matlamat dan aspirasi GRS tanpa menjadi ahli gabungan.

“Kami dalam PBS menghargai gerak kerja politik Warisan dan presidennya, Shafie Apdal untuk bekerjasama pada pilihan raya umum akan datang, tetapi sebagai parti tempatan yang berbilang kaum, berpengalaman, kami komited dan setia sepenuhnya kepada GRS dan rakan gabungannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.