
Sidek Hassan yang berkhidmat dari September 2006 hingga Jun 2012, berkata, bekas perdana menteri itu bertanyakan mengenai gajinya sebelum pelantikan itu dibuat.
“Beliau (Najib) beranggapan gaji saya ‘agak kecil’,” katanya, walaupun tidak menyatakan berapa banyak dia dibayar sepanjang tempoh perkhidmatannya selama enam tahun.
Sidek berkata, beliau menjadi ahli lembaga penasihat 1MDB pada 30 Ogos 2010 dan menerima bayaran penasihat bulanan sebanyak RM30,000 sehingga Januari 2013, ketika ia dikurangkan kepada RM10,000.
“Walaupun saya adalah ahli lembaga penasihat, saya tidak pernah menghadiri sebarang mesyuarat untuk membincangkan perkara berhubung 1MDB.
“Kakitangan 1MDB tidak pernah melaporkan kepada saya mengenai operasi harian,” katanya selain menambah bahawa pelantikannya hanya ditamatkan pada Jun 2015 walaupun tidak diberitahu sebabnya.
Sidek memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya mendapat tahu mengenai masalah kewangan 1MDB menerusi media.
“Saya tahu (menerusi media) bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat 1MDB. Perdana menteri (Najib) tidak pernah memberitahu saya mengenai masalah dalam 1MDB dan saya tidak pernah bertanyakan kepadanya mengenai perkara itu.
“Saya difahamkan bahawa 1MDB ditubuhkan untuk dijadikan sebagai dana politik untuk Barisan Nasional (BN),” katanya.
Mahkamah pada September 2020 mendengar keterangan daripada bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Hazem Abdul Rahman, yang berkata, 1MDB ditubuhkan untuk membantu Umno mendapatkan dana politik.
Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkait dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun banknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.