
Pelajar yang enggan dikenali itu berkata, dia hanya mengetahui mengenai penutupan institusi tersebut selepas dimaklumkan oleh pensyarahnya.
“Kami amat kecewa dengan tindakan pihak kolej yang tidak bertanggungjawab itu kerana kami pelajar semester akhir pengajian. Oleh sebab itu kami bimbang tidak akan memperoleh ijazah atau diploma seperti yang dijanjikan,” katanya dalam laporan polisnya.
Pelajar yang berada di semester enam dan akhir dan akan menamatkan diplomanya berkata, dia turut mewakili pelajar lain yang terjejas dengan membuat laporan di Balai Polis Brickfields.
FMT merahsiakan nama kolej itu, sementara menunggu ulasan daripada institusi terbabit serta Kementerian Pengajian Tinggi.
Pelajar itu juga berkata, dia telah menghantar e-mel aduan kepada kementerian dan kali terakhir menerima jawapan ialah pada 3 Jun lalu dan dimaklumkan bahawa seorang pegawai kementerian akan mengendalikan kesnya.
“Bagaimanapun sehingga kini pegawai terbabit tidak menjawab panggilan saya,” katanya.