Pemain Kelantan United FC disiasat dakwaan rogol direhatkan

Pemain Kelantan United FC disiasat dakwaan rogol direhatkan

Kelantan United FC sentiasa mendukung undang-undang negara dan berpendirian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan tidak bermoral oleh mana-mana pihak di dalam kelab.

Ketua Pegawai Operasi Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz, berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes berkenaan.
PETALING JAYA:
Kelantan United FC memaklumkan, pemain yang ditahan berkait kes rogol remaja baru-baru direhatkan daripada menjalani latihan serta perlawanan Liga Premier sehingga dimaklum kelak.

Ketua Pegawai Operasi Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz, pasukan itu sentiasa mendukung undang-undang negara dan berpendirian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan tidak bermoral oleh mana-mana pihak di dalam kelab.

“Kelantan United FC sedia maklum dengan dakwaan yang tular dan mengesahkan kes yang disabitkan adalah pemain kami.

“Justeru, kami memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dan menunggu laporan penuh berkenaan kes yang didakwa terhadap pemain berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Wan Mohd Zul Ikman berkata, Kelantan United FC tetap berpegang pada prinsip “seseorang itu masih tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”.

Katanya, jika berjaya dibuktikan bersalah, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang dan terma yang dipersetujui dalam kontrak.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemain bola sepak di Kelantan ditahan bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, 29 Mei lalu selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa berusia 18 tahun.

Katanya, mangsa yang juga jurujual kain dan tudung mendakwa berada di rumahnya di sebuah kampung di Jalan PCB, keluar dari bilik untuk membuang sampah pada 12.30 tengah sebelum dirogol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.