
“Kami berharap polis menyelesaikan perkara ini secepat mungkin. Kami percaya setakat ini tiada apa yang dilakukan,” kata wakil kumpulan berkenaan, Mahendran Ponnudurai, dalam sidang media.
Mac lalu, dilaporkan kesemua mangsa mengalami kerugian keseluruhan lebih RM22.6 juta selepas melabur dalam projek penanaman gaharu dikendalikan syarikat tempatan, sejak beberapa tahun lalu.
Kumpulan merangkumi 60 hingga 70 mangsa membuat laporan polis terhadap syarikat terbabit, pada 2020, namun kes berkenaan diklasifikasikan polis sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA).
Mahendran berkata, pada Mac tahun ini, mahkamah memerintahkan polis membuka semula kes siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis memaklumkannya bahawa pihak berkuasa itu sedang menunggu individu berkenaan kembali dari luar negara bagi mendapatkan keterangan.
Ditanya berhubung modus operandi syarikat terbabit, Mahendran berkata, syarikat itu akan menarik pelabur untuk membeli pokok gaharu di Thailand bagi pengeluaran minyak oud.

Katanya, selepas menandatangani kontrak, pelabur diberikan tiket penerbangan percuma melawat kawasan penanaman dan makmal di Thailand, selain dijanjikan laporan tahunan berhubung perkembangan projek itu selama tujuh tahun.
Bagaimanapun, tiada laporan dihantar dan apabila disoal berhubung perkara itu, pihak syarikat memberitahu mangsa banyak pokok musnah akibat cuaca buruk.
Seorang mangsa, yang ingin dikenali sebagai Stephanie, berkata dia melabur hampir RM400,000 hasil simpanannya dalam projek berkenaan, pada 2011.
“Saya terlampau kecewa. Saya terkejut polis tidak melakukan apa-apa berhubung perkara itu,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi mangsa yang enggan dikenali, berkata tindakan dilakukan syarikat itu “tidak dapat dimaafkan” memandangkan ramai kalangan pelabur terdiri daripada warga emas dan menggunakan simpanan seumur hidup mereka bagi melabur dalam projek penanaman gaharu dengan harapan mendapat pulangan lumayan.
“Saya berharap pengawal selia juga mengambil tindakan. Syarikat itu bertindak secara tidak wajar,” katanya.