Tiada ubat alami gangguan bekalan menyeluruh, kata KKM

Tiada ubat alami gangguan bekalan menyeluruh, kata KKM

Ia berikutan kebanyakan produk mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi sama.

Kementerian Kesihatan berkata, pada masa ini tiada produk yang mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan tiada produk mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh walaupun terdapat laporan sebelum ini bahawa beberapa jenis ubat mengalami kekurangan di pasaran ketika ini.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim berkata, ini kerana kebanyakan produk mempunyai alternatif daripada pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi yang sama.

“Maklum balas yang diterima daripada pihak industri menunjukkan terdapat peningkatan permintaan yang mendadak bagi beberapa jenis ubat-ubatan seperti produk dengan bahan aktif paracetamol (bagi rawatan demam dan sakit yang ringan), vitamin C serta ubat batuk dan selsema untuk kegunaan kanak-kanak.

“Namun pada masa ini, tiada produk yang mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh kerana kebanyakan produk mempunyai alternatif daripada pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi yang sama.

“Pihak pengilang juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa jenis ubat-ubatan dikesan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh yang ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.

Antara ubat yang didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit, selain ubat untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) disebabkan peningkatan kes itu di seluruh negara.

Kekurangan itu diakui oleh Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan pengamal perubatan di klinik swasta.

Mengulas lanjut, Norhaliza berkata, KKM kini mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak industri farmaseutikal berhubung status sebenar bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di negara ini atau diimport, selain isu berkaitan.

Katanya, KKM juga sudah mengadakan perjumpaan dengan pihak industri, iaitu Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysia Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) semalam susulan isu berkenaan.

“Pemantauan yang ketat dan penyelesaian setiap isu yang dialami akan diteliti melalui komunikasi berterusan antara KKM dan pihak industri farmaseutikal bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.