
Beliau berkata, kod etika itu akan menggariskan tatatertib yang lebih terperinci berhubung sikap ahli Parlimen semasa di dalam dan di luar dewan sebagaimana yang dilaksanakan di beberapa negara lain.
“Cadangan untuk memperkenalkan kod etika ini adalah selaras dengan apa yang dilaksanakan di negara lain termasuk India dan New Zealand,” katanya menurut laporan Bernama.
Lanjutan daripada keputusan Jemaah Menteri itu, Wan Junaidi berkata, beliau telah memohon kepada Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk mengadakan persidangan jawatankuasa yang dipengerusikan mereka supaya memutuskan rangka kerja serta libat urus dengan pemegang taruh berhubung undang-undang terlibat.
Wan Junaidi berkata, kod etika ahli Parlimen itu adalah antara perkara yang dipersetujui dalam cadangan reformasi Parlimen.
Ia turut melibatkan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen dan pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).
Mengenai penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen, Wan Junaidi berkata, ia mengambil kira penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang merupakan sebahagian daripada pengurusan Parlimen yang mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia.
Antara yang akan diteliti termasuklah cadangan mewujudkan skim perkhidmatan Parlimen, serta sumber kewangan dan bajet tahunan yang diperolehi Parlimen daripada Kumpulan Wang Disatukan yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Parlimen sendiri selaras dengan prinsip pengasingan kuasa.
Menurut Wan Junaidi, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] berkuat kuasa pada 20 Nov 1993, iaitu pemansuhannya adalah bagi memenuhi keperluan ketika itu untuk membuka perkhidmatan Parlimen yang tertutup kepada perkhidmatan awam persekutuan.
Wan Junaidi dalam pada itu berkata, pindaan ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347] dilihat penting supaya akta tersebut lebih relevan dan memberi impak yang sesuai dengan keadaan semasa.
Menurutnya, akta itu telah digubal pada 1952 sebagai House of Parliament (Privileges and Powers) Ordinance 1952 dan dipinda pada 1953 sebelum dikuatkuasakan tahun tersebut, manakala pada 1988, satu semakan dibuat untuk menukar ordinan tersebut menjadi Akta 347 sekarang ini.
“Selain daripada itu tidak ada pindaan pernah dibuat semenjak 1953,” katanya.
Akta 347 merupakan akta berhubungan dengan kuasa dan keistimewaan Majlis Parlimen, kebebasan bercakap dan berbahas dalam prosiding majlis dan perlindungan kepada orang yang diambil berkhidmat dalam penyiaran kertas-kertas majlis itu.
Wan Junaidi berkata, pindaan kepada akta itu akan mengandungi peruntukan larangan kepada ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah digantung daripada menghadiri aktiviti majlis.
“Ini masih diperhalusi untuk menyesuaikan dengan perkembangan dan peraturan Dewan Rakyat sedia ada,” katanya.