Jelaskan kebocoran data Pikas, Ong beritahu Miti

Jelaskan kebocoran data Pikas, Ong beritahu Miti

Pakar keselamatan siber mendedahkan kebocoran itu melibatkan lebih sejuta rekod data peribadi pekerja meski CyberSecurity Malaysia berkata isu itu telah selesai.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata, Miti mesti menjelaskan langkah yang diambil untuk melindungi keselamatan data di bawah kementerian itu.
PETALING JAYA:
Wakil DAP Ong Kian Ming menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menjelaskan mengenai kebocoran data membabitkan rekod Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

Ahli Parlimen Bangi itu berkata, Miti mesti menjelaskan bagaimana kebocoran itu berlaku dan langkah yang diambil untuk melindungi keselamatan data lain di bawah kementerian berkenaan.

Ong berkata, Miti juga perlu menghubungi syarikat yang data pekerjanya terlibat dalam kebocoran itu supaya mereka boleh berjaga-jaga sekiranya data itu digunakan orang lain.

“Sebagai salah satu kementerian barisan hadapan berkaitan industri dan syarikat yang kebanyakannya beroperasi di peringkat antarabangsa, Miti mesti telus dan membentangkan penjelasan awam mengenai perkara itu supaya ia boleh terus mendapat keyakinan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.

Pada Rabu, pakar keselamatan siber Suresh Ramasamy mendedahkan kebocoran itu melibatkan lebih sejuta rekod data peribadi pekerja biarpun CyberSecurity Malaysia berkata isu terbabit telah selesai.

Namun Ong yang juga bekas timbalan menteri Miti menegaskan, ia bukan kali pertama Suresh mendedahkan kelemahan dalam laman sesawang kementerian itu.

Katanya, Suresh sebelum ini mengkritik beberapa kelemahan Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS), firma portal web yang digunakan untuk mendapatkan surat kelulusan untuk terus beroperasi semasa perintah sekatan..

“Miti menjelaskan sama ada kelemahan pada keselamatan teknologi maklumat (IT) disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh Jabatan IT di Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), sebuah agensi di bawah Miti yang bertanggungjawab membangunkan dan menyelenggara CIMS.

“Miti juga mesti menjelaskan sama ada pelanggaran IT yang mungkin melibatkan MARii ini adalah disebabkan oleh kelemahan kepimpinan di agensi itu,” kata Ong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.