
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han berkata, masalah kekurangan bekalan ayam dijangka selesai susulan pendekatan kerajaan melaksanakan sekatan eksport ayam segar ke luar negara berkuat kuasa 1 Jun lepas.
“Masalah bekalan ayam di negeri ini akan kembali kepada paras normal selepas musim perayaan ini dan ia selaras dengan usaha kerajaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Ladang Telur Teo Seng Capital di Yong Peng, dekat sini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian.
Menurut Lee, sejak skim kawalan harga maksimum ayam dikuatkuasakan pada Februari lepas di negeri itu, sebanyak RM101,300 kompaun dikeluarkan membabitkan 42 kes.
Dalam perkembangan lain, Lee berkata, orang ramai tidak perlu panik dengan bekalan telur di negeri itu kerana ia sentiasa mencukupi malah ia turut dikeluarkan melebihi permintaan.
“Saya dimaklumkan ladang telur di Yong Peng ini mampu mengeluarkan sehingga empat juta biji telur sehari dengan pelbagai gred, sedangkan permintaan pasaran telur dari ladang berkenaan hanyalah sekitar tiga juta biji sahaja untuk sehari,” katanya.