
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim berkata, antara siasatan yang dijalankan melibatkan beberapa individu dan syarikat termasuk syarikat senaraian awam.
Beliau turut mendedahkan bahawa pihaknya pernah menahan tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk pada 22 Mac lepas bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek pembinaan MRT bernilai lebih RM650 juta.
“Hasil siasatan itu, kita menemui beberapa maklumat baharu berkaitan penyelewengan membabitkan MRT dan LRT,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.
Selain itu Hishamuddin berkata, pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama menyalurkan maklumat yang diperlukan berhubung siasatan pihak berkuasa Perancis terhadap tiga syarikat kejuruteraan yang menjalankan projek Klang Valley Mass Rapid Transport (KVMRT).
“Bagaimanapun, proses berkenaan perlu melalui Jabatan Peguam Negara untuk melihat bantuan dan keperluan mereka,” katanya.
Media semalam melaporkan penyiasat Perancis meminta bantuan Malaysia dengan menghantar permohonan rasmi melalui Mutual Legal Assistant (MLA) kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk tujuan siasatan.
Sebelum ini, media tempatan turut melaporkan tiga syarikat kejuruteraan disiasat berhubung penipuan dan rasuah melibatkan projek KVMRT kerana dipercayai membayar RM54 juta kepada individu tertentu.
Jumlah yang dibayar adalah balasan bagi satu projek yang diterima oleh tiga syarikat berkenaan.
Kesemua projek mega itu membabitkan nilai RM30 bilion sejak 2011 sehingga kini.
Projek berkenaan didakwa dilaksanakan oleh sebuah syarikat di negara ini yang dikaitkan dengan sebuah konglomerat Perancis terkenal dengan kes penipuan dengan memalsukan ujian keselamatan dan kualiti.