Kerajaan tawar ujian RT-PCR percuma kepada jemaah haji

Kerajaan tawar ujian RT-PCR percuma kepada jemaah haji

Bagaimanapun, jemaah haji yang memilih untuk menjalani ujian Covid-19 di fasiliti kesihatan swasta perlu menanggung kos sepenuhnya sendiri, kata menteri kesihatan.

Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan kuota sebanyak 14,306 jemaah haji tahun ini kepada Malaysia. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju mengecualikan bayaran ujian pengesanan Covid-19 bagi jemaah haji negara ini yang dilakukan di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM), susulan penetapan prosedur operasi standard (SOP) ketat kerajaan Arab Saudi bagi mencegah penularan wabak.
Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, bagi jemaah haji yang memilih untuk menjalani ujian di fasiliti kesihatan swasta, kosnya perlu ditanggung sendiri sepenuhnya.

“Dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawa semua jemaah haji perlu disahkan negatif Covid-19 menerusi ujian pengesanan RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum ketibaan di Tanah Suci.

“Oleh demikian, KKM bersetuju agar ujian pengesanan Covid-19 bagi jemaah haji Malaysia yang dilakukan di fasiliti KKM dikecualikan daripada bayaran dan dilaksanakan secara percuma,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, jemaah boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada Pejabat Kesihatan Daerah atau Pejabat Tabung Haji Daerah, termasuk senarai fasiliti kesihatan KKM yang menyediakan perkhidmatan ujian RT-PCR.

Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan kuota sebanyak 14,306 jemaah haji tahun ini kepada Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.