
Peguam Shaharudin Ali yang mewakili kumpulan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) memfailkan rayuan itu pada Selasa di Mahkamah Rayuan.
Pada 29 Mei, Pesuruhjaya Kehakiman Abazafree Mohd Abbas menolak saman yang dikemukakan oleh kumpulan itu dengan menyatakan bahawa kewujudan sekolah vernakular mesti dibaca dalam konteks sejarah.
Namun Shaharudin mempersoalkan sama ada sejarah benar-benar boleh digunakan sebagai asas untuk mewajarkan kesahan sekolah.
Menurut Shaharudin, Abazafree berkata, sekolah itu adalah pihak berkuasa awam bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Bagaimanapun dengan memutuskan bahawa sekolah itu adalah pihak berkuasa awam, bermakna bahasa pengantar wajibnya adalah Bahasa Melayu,” katanya kepada FMT, memetik Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Kumpulan i-Guru, menerusi presidennya Azizee Hasan, memfailkan saman terbabit tahun lepas bagi mencabar keperlembagaan Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan.
Shaharudin berkata, mereka menerima keputusan Abazafree bahawa sekolah adalah pihak berkuasa awam tetapi tidak dapat bersetuju bahawa disebabkan usia sekolah itu melebihi 100 tahun, maka ia menepati Perlembagaan dan sah di sisi undang-undang.