
Peguam Rahmat Mohamed Hazlan berkata, pasukan peguam juga menggesa peguam negara mempertimbangkan untuk mengenakan pertuduhan lebih ringan terhadap anak bekas pegawai Wisma Putra itu yang kini masih ditahan.
“Salinan surat itu telah dihantar kepada beberapa menteri dan ahli (Ahli Parlimen) yang terlibat dalam Kaukus Medical Cannabis untuk mendesak pindaan undang-undang yang membenarkan ganja bagi kegunaan perubatan.
“Ia dihantar melalui emel hari ini dan kami akan menyerahkan salinan asal esok,” katanya merujuk kepada jawatankuasa bipartisan yang diketuai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli jawatankuasa lain yang juga dikenali sebagai Kaukus Medical Cannabis termasuk Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said, Khalid Samad (Shah Alam), Xavier Jayakumar (Kuala Langat), Darell Leiking (Penampang), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), Lukanisman Awang Sauni (Sibuti) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).
Jawatankuasa itu ditubuhkan tahun lalu untuk mengkaji ketum dan ganja bagi tujuan perubatan.
Ditanya apakah alasan meminta peguam negara tidak perlu meneruskan kes itu terhadap bekas diplomat itu, Rahmat berkata beliau tidak boleh mendedahkan butirannya.
Bekas diplomat berusia 78 tahun itu dibebaskan daripada tahanan reman oleh majistret pada 28 Mei lalu. Bagaimanapun, reman terhadap anak lelakinya berusia 53 tahun dilanjutkan hingga hujung minggu ini.
Polis yang menyerbu kediaman itu berkata, ia adalah rampasan terbesar pokok ganja setakat ini memandangkan kes sebelum ini hanya melibatkan penanaman dalam pasu.
Menurut polis, mereka menemui deretan pokok ganja yang ditanam di sekeliling rumah dan daun ganja kering serta bekas cecair dipercayai minyak ganja.
Terdapat 102 pokok ganja dengan nilai rampasan kira-kira RM61,200, bersama daun ganja kering seberat 1.02kg dan sebotol ekstrak ganja.
Polis berkata, seorang daripada suspek mengaku menanam pokok itu dengan menonton video di YouTube tetapi memperoleh benih dari Kuala Lumpur.
Sebelum itu, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman menarik perhatian umum selepas didakwa menanam dan mengedar 214g ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara.
Syed Saddiq, yang baru-baru ini bertemu penyanyi itu di mahkamah semasa sebutan kes, berkata di Twitter bahawa kes Yasin “akan menjadi rujukan Ahli Parlimen seperti saya dalam usaha untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan penggunaan ganja dan hemp bagi tujuan perubatan”.