2 lelaki ditahan, kes tetak pengarah eksekutif PHEB selesai

2 lelaki ditahan, kes tetak pengarah eksekutif PHEB selesai

Suspek berusia 27 dan 48 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes tetak Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) M Ramachandran Julai tahun lalu.

M Ramachandran parah ditetak sekumpulan individu di depan kediamannya di Taman Alma, Machang Bubok, 7 malam 24 Julai tahun lalu.
GEORGE TOWN:
Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan kes serang dan tetak membabitkan Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), M Ramachandran tahun lalu dengan penahanan dua lelaki 26 Mei lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dua suspek berusia 27 dan 48 tahun itu ditahan di sebuah hotel di negeri ini, 2.15 pagi dan polis turut merampas sebuah kereta jenis Hyundai Sonata warna hitam yang digunakan suspek dalam kejadian serangan tersebut.

“Seperti saya maklumkan sebelum ini, siasatan kes itu tidak pernah ditutup dan kes masih aktif, terbaru polis menahan dua lelaki tersebut yang dipercayai mempunyai kaitan. Kami juga sedang mengesan seorang lelaki S Dinish, 22, beralamat terakhir di No 11A Jalan Semenyih Impian 18 di Taman Semenyih Impian di Selangor bagi membantu siasatan kes itu.

“Sepanjang siasatan kes itu, kami melancarkan beberapa serbuan dan menahan seramai 16 lelaki serta dua wanita yang kesemuanya berusia 22 hingga 53 tahun. Semua 20 suspek termasuk dua yang baru ditahan itu disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 24 Julai tahun lalu, Ramachandran, 70, parah ditetak sekumpulan individu di depan kediamannya di Taman Alma, Machang Bubok dalam kejadian jam 7 malam.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Shuhaily berkata, sejak Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 77 kertas siasatan tatatertib telah dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Pulau Pinang dengan 48 kes membabitkan salah laku iaitu melibatkan enam pegawai serta 69 anggota.

“Manakala kesalahan jenayah 12 kes iaitu melibatkan seorang pegawai dan 31 anggota serta kesalahan dadah pula 11 kes melibatkan 11 anggota. Kesalahan terendah ialah tidak hadir tugas iaitu sebanyak enam kes membabitkan dua pegawai dan empat anggota,”katanya.

Katanya, JIPS Pulau Pinang sentiasa menjalankan siasatan tatatertib yang telus dan adil dalam memastikan tindakan sewajarnya dan pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melakukan salah laku bertentangan dengan undang-undang serta prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.