Rasuah urus jenazah: JKN Selangor tunggu hasil siasatan SPRM

Rasuah urus jenazah: JKN Selangor tunggu hasil siasatan SPRM

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata keputusan sama ada penggantungan atau pemberhentian kerja terhadap kakitangan terbabit akan diputuskan selepas siasatan SPRM selesai.

Semalam, tiga petugas kesihatan sebuah hospital di Selangor masing-masing direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berjumlah antara RM1,000 dan RM5,000 bagi kerja berkaitan pengurusan jenazah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menunggu laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum memutuskan sebarang tindakan ke atas kakitangannya yang ditahan bersabit kes meminta dan menerima suapan berkaitan pengurusan jenazah, kata pengarahnya Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata, keputusan itu termasuk sama ada penggantungan atau pemberhentian kerja terhadap kakitangan terbabit.

“Ada enam pegawai (hospital di Selangor) ditahan SPRM, jadi kita kena lihat apa langkah selanjutnya akan dibuat SPRM, sama ada pertuduhan dan sebagainya.

“Kita akan lihat apa hasil yang sudah ditemui SPRM, selepas itu JKNS akan ambil tindakan sepatutnya,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Sha’ari berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima laporan berhubung kes itu membabitkan kakitangannya di Hospital Kajang dan Hospital Serdang.

Sebelum ini media melaporkan Pengarah SPRM Selangor Alias Salim mengesahkan penahanan itu di mana kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Katanya, tiga daripada empat suspek ditahan reman, manakala seorang lagi suspek seorang penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun akan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Pada 27 Mei lalu, dua pembantu kesihatan masing-masing berusia 40 dan 42 tahun direman lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.