
Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata, kelmarin pihaknya menahan individu terbabit termasuk penganjur yang juga seorang pesohor Instagram dikenali sebagai “Cik Lala”.
“Dia dilepaskan dengan jaminan polis hari ini. Bagaimanapun, polis sedang mengumpul segala keterangan dan tangkapan berperingkat akan dilakukan kerana ada antara penari tersebut adalah mereka yang datang dari luar kawasan,” katanya kepada wartawan pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri IPD Serdang malam tadi.
Beliau berkata, kertas siasatan akan diserah kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya sebaik sahaja siasatan dan rakaman percakapan saksi serta suspek selesai dibuat.
Sabtu lepas, polis menerima laporan daripada pengurus Badan Pengurusan Bersama (JMB) I-Soho I-City mengenai aktiviti yang menjatuhkan imej I-City sebagai tarikan pelancong di Selangor.
Aktiviti diiringi muzik kuat itu dijalankan di kawasan awam berhampiran rumah penduduk dan Cik Lala adalah individu yang menyewa unit terbabit.
Arjunaidi juga berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Nur Syuhada di talian 017-6942 736.