Tolak buat PRU15 lebih awal, masa tak sesuai, kata PM

Tolak buat PRU15 lebih awal, masa tak sesuai, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat ketika ini berdepan kenaikan harga barang makanan, kos sara hidup dan inflasi.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, tidak mahu mengadakan pilihan raya umum lebih awal mengambil kira situasi didepani rakyat ketika ini terutama ketika harga barang melambung tinggi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menolak kemungkinan mengadakan pilihan raya lebih awal susulan kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup.

Menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia, di Tokyo, baru-baru ini, Ahli Parlimen Bera itu dilaporkan sebagai berkata, beliau masih menunggu waktu sesuai untuk membubarkan Parlimen.

Katanya lagi, kenaikan harga barang makanan serta kos sara hidup itu, dilihat berpunca dari ketegangan yang berlaku di peringkat global akibat peperangan antara Rusia dan Ukraine.

“Kita sekarang sedang menghadapi peningkatan inflasi, dengan harga barangan yang melambung tinggi … awak rasa ia waktu yang sesuai (untuk adakan pilihan raya?,” katanya seperti dilaporkan Nikkei.

Memetik laporan Awani, Ismail yang juga merupakan naib presiden Umno, didakwa sedang menghadapi tekanan dari pihak tertentu dalam parti, bagi membubarkan Parlimen lebih awal.

Menurut laporan media terdahulu, Bank Negara Malaysia mengunjurkan kenaikan inflasi antara 2.2% hingga 3.2% tahun ini, dengan kenaikan harga barangan sekitar 4.3%.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pembubaran Parlimen tidak boleh dilakukan melebihi tempoh dibenarkan Perlembagaan Persekutuan (Ogos 2023), tetapi untuk mengadakannya lebih awal bergantung kepada situasi semasa.

“Insyaallah saya akan membuat keputusan bila waktu yang sesuai,” katanya.

Selain itu, Ismail dilaporkan sebagai berkata, beliau adalah seorang patuh kepada kehendak parti, dan akan menurut keputusan Umno serta Kabinet dalam soal pembubaran Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.