PICKids tamat hari ini

PICKids tamat hari ini

Mulai esok hingga 31 Jan 2023, vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berusia lima tahun pada atau selepas 31 Mei 2022 hanya ditawarkan melalui klinik kesihatan dan klinik swasta.

Ibu bapa yang berhasrat memberi vaksin Covid-19 kepada anak mereka dinasihatkan mendaftar dan membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera atau janji temu secara terus di klinik kesihatan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang dilancarkan pada 3 Feb lepas bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun tamat hari ini dengan 33% daripada mereka lengkap menerima dua dos, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, mulai esok hingga 31 Jan 2023, vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berusia lima tahun pada atau selepas 31 Mei 2022 hanya ditawarkan melalui klinik kesihatan dan klinik swasta yang masih beroperasi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

“Ibu bapa yang berhasrat memberi vaksinasi kepada anak yang mencapai umur lima tahun dinasihatkan mendaftar dan membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera atausecara terus di klinik kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berhasrat melanjutkan PICKids kerana telah memberi masa cukup kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi secara percuma.

Selepas ini katanya, ibu bapa yang mahu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bagi anak mereka perlu ke klinik swasta dengan bayaran tertentu.

Sejak PICKids dilancarkan Februari lepas, seramai 1,720,411 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 1,171,888 kanak-kanak atau 33% lengkap dua dos.

“Dianggarkan 548,523 kanak-kanak akan melengkapkan dos kedua mereka selewat-lewatnya 30 Ogos ini,” kata Azmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.