Subsidi telur kurang 50% sebelum tamat 1 Ogos

Subsidi telur kurang 50% sebelum tamat 1 Ogos

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata kerajaan belanja hampir RM2.5 bilion beri subsidi telur ayam kepada pihak industri dari Februari 2022 hingga Disember lalu.

tulul
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata keputusan itu mengambil kira komitmen pihak industri memastikan pengeluaran telur ayam mencukupi dan terjamin kerana kos pengeluaran sudah stabil.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengurangkan subsidi telur ayam daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji mulai esok, sebelum ditamatkan sepenuhnya 1 Ogos ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, keputusan itu mengambil kira komitmen pihak industri memastikan pengeluaran telur ayam mencukupi dan terjamin disebabkan kos pengeluaran sudah stabil.

“Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu, di mana ketersediaan bekalan mencukupi dengan harga yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan.

Pada 17 Jun 2024, kerajaan mengumumkan harga telur gred A, B dan C diturunkan 3 sen kepada 42 sen, 40 sen serta 38 sen sebiji.

KPKM berkata, tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi terlalu lama tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.

Sejak Februari 2022 hingga Disember lalu, katanya, kerajaan membelanjakan hampir RM2.5 bilion dalam pemberian subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung kenaikan kos pengeluaran susulan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan Ukraine dan Rusia ke atas harga import soya serta jagung bijian.

Ia berkata, langkah penyasaran semula subsidi lebih adil kerana ketika ini, subsidi turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Menurutnya, hasil penjimatan daripada peruntukan itu boleh digunakan untuk membiayai projek tertentu bagi kesejahteraan rakyat.

Bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, KPKM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan langkah intervensi, termasuk pihak industri akan memperkenalkan telur gred khas pada harga munasabah.

“Rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara, termasuk di semua cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“KPDN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi membanteras aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga tidak bertanggungjawab.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.