
Laidlaw, iaitu Peguam Diraja (QC) yang pakar dalam undang-undang jenayah perniagaan dan kewangan sedang mendapatkan izin untuk mengajukan hujah daripada Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International secara ‘ad hoc’.
Dalam petisyennya, peguam kanan itu berkata, SRC International melibatkan “isu serius, kompleks dan isu baharu berkaitan beberapa cabang undang-undang jenayah dan sivil. Bagi tujuan rayuan, perayu (Laidlaw) memiliki kelayakan, pengalaman dan kepakaran khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam di sini.”
Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar rayuan akhir Najib bagi tempoh 10 hari bermula 15 sehingga 26 Ogos depan.
Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 untuk mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram lebih RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke akaun banknya.
Ia juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun Ndan denda RM210 juta. Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.
Najib sebelum ini memohon untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuannya tetapi Mahkamah Persekutuan menolak dan berkata, ia tidak memenuhi kehendak undang-undang.
Pada tahun 2007, QC lain, Cherie Blair, yang dilantik oleh sebuah syarikat untuk hadir ke Mahkamah Persekutuan dalam pertikaian komersial. Blair juga merupakan isteri kepada bekas perdana menteri Britain, Tony Blair.
Bagaimanapun, mahkamah menolak petisyennya untuk penerimaan ad hoc, dengan berkata, dia tidak memenuhi keperluan Seksyen 18 (1) Akta Profesion Undang-undang.
Mahkamah Persekutuan juga bertanya bagaimana dia boleh membantu dalam kes itu sedangkan dia tidak dilantik semasa peringkat perbicaraan.