
Naib canselornya, Haim Hilman Abdullah, berkata, kerja penyelenggaraan dilaksanakan “mengikut prosedur dan jadual”.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Vinosiny di kediaman mereka di sini.
Vinosiny, 21, ditemui meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik di bilik asramanya pada 21 Mei.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sebelum ini, bapanya, R Sivakumar menuduh pihak universiti cuai berhubung kematian anak perempuannya itu.
Diminta mengulas berhubung insiden kebakaran membabitkan blok asrama universiti itu, tahun lalu, Haim menjelaskan, insiden terbabit merupakan kes terpencil.
“Insiden kebakaran tahun lepas berpunca daripada pelajar masak dalam bilik itu, itu satu insiden terpencil, bukan kerana kerosakan.. pelajar guna ‘extension’ dengan banyak…(sistem pendawaian?) tiada masalah. Keadaan dalam konteks ini tiada sampai berbahaya..jadi tak ada isulah,” katanya.
Mengulas berkenaan larangan terhadap pelajarnya menyertai sebarang majlis solidariti kepada Vinosiny, Haim berkata, timbul salah faham dan salah komunikasi daripada pihaknya yang diterangkan dalam kenyataan berasingan, hari ini.
“Kita tak larang atau halang kerana statement (kenyataan) itu keluar bukan dari unit sepatutnya, statement itu keluar daripada jabatan HEP (hal ehwal pelajar). Saya betul-betul minta maaf. Sepatutnya keluar daripada unit komunikasi korporat.
“Notis HEP itu sedikit keras dalam mengingatkan pelajar yang benda masih dalam siasatan,” katanya.
Dalam nada sebak, Haim berkata, sebagai seorang ayah, beliau juga ingin mengetahui punca terhadap insiden berkenaan dan memberi jaminan pihak universiti tidak akan menyorokkan sesuatu berhubung kes terbabit.
“Sekiranya ada keperluan inkues, saya akan bersama abang (bapa Vinosiny) untuk mencari kebenaran (untuk Vinosiny,” katanya kepada Sivakumar.