Tanam ganja: Reman anak bekas diplomat disambung 5 hari lagi

Tanam ganja: Reman anak bekas diplomat disambung 5 hari lagi

Polis memperoleh reman kali kedua bermula esok hingga 4 Jun ini.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf (kanan) menunjukkan pokok ganja yang dirampas dari rumah seorang bekas diplomat di Janda Baik pada sidang media minggu lalu. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Reman anak lelaki bekas diplomat yang didakwa menanam ganja di Janda Baik, Bentong yang tamat hari ini, dilanjutkan lima hari, kata Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar.

Beliau menerusi kenyataan ringkas hari ini, mengesahkan polis berjaya memperoleh reman kali kedua bermula esok hingga 4 Jun ini.

Pada Selasa lepas, Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan penahanan seorang bekas diplomat berstatus ‘Datuk’ pada 21 Mei lepas kerana disyaki menanam ganja di sebuah kampung di Janda Baik.

Pada serbuan itu, polis menemui 102 pokok disyaki ganja yang dikatakan rampasan ganja terbesar dalam negara setakat ini.

Penahanan bekas diplomat berusia 78 tahun itu seterusnya membawa kepada penahanan anak lelakinya berusia 53 tahun pada Isnin lepas, di Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, bekas diplomat itu dibebaskan pada Sabtu lepas selepas polis gagal memperoleh reman kali kedua daripada Mahkamah Majistret Bentong.

Siasatan dijalankan dijalankan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.