Saya kalah tapi bukan dipinggirkan, kata Tian Chua

Saya kalah tapi bukan dipinggirkan, kata Tian Chua

Walaupun kalah kepada Prabakaran bagi jawatan ketua bahagian Batu, namun Tian Chua yakin beliau akan kembali dinamakan sebagai calon PKR bagi kawasan Parlimen itu.

Tian Chua menolak kaitannya dengan bekas timbalan presiden, Azmin Ali, menjadi punca kekalahannya dalam pemilihan parti.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR Tian Chua yang tewas kepada ‘anak didik’ yang menjadi saingannya bagi jawatan ketua bahagian Batu pada pemilihan parti, yakin akan dicalonkan semula untuk bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Tak betul kekalahan ini bermaksud saya tidak akan dicalonkan bagi Parlimen Batu oleh PKR. Saya pasti akan kembali bertanding di kawasan itu dalam PRU15,” katanya kepada FMT.

“Saya yakin berkemampuan mempertahankan kerusi itu untuk parti.”

Beliau berkata demikian berhubung kekalahannya yang dikatakan menjadi titik noktah untuk kembali bertanding di kerusi Batu yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Pada 2018, penolakan pencalonannya mencetuskan kontroversi kerana dibuat atas alasan beliau pernah disaman RM2,000 oleh mahkamah, pada 2010.

Beliau kemudian mengambil pendirian menyokong calon Bebas, Prabakaran, yang ketika itu merupakan pelajar undang-undang berusia 22 tahun, yang menang kerusi berkenaan dan menyertai PKR sebagai Ahli Parlimen termuda di negara ini.

Tian Chua berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain menyokong Prabakaran pada PRU14 selepas pencalonannya ditolak.

Dalam keputusan tidak rasmi yang diumumkan semalam, Prabakaran meraih 517 undi, manakala Tian Chua, yang juga penyandang jawatan naib presiden, mendapat 306 undi.

Ditanya sama ada kaitannya dengan bekas timbalan presiden, Azmin Ali, yang meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu, menjadi punca kekalahannya, veteran parti itu berkata: “Saya tidak fikir Azmin ada kena mengena dalam hal ini.

“Prabakaran menang di bahagian ini kerana beliau mempunyai sumber sebagai ahli Parlimen bagi kawasan ini. Saya akan kekal berada dalam PKR untuk membantu parti. Saya tidak ada alasan untuk keluar parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.