Polis buru lelaki lagak samseng, cuba baling objek ke arah kenderaan

Polis buru lelaki lagak samseng, cuba baling objek ke arah kenderaan

Kejadian berlaku di Jalan Temiang-Pantai dan suspek dipercayai berang selepas sebuah kenderaan membunyikan hon kerana meletakkan motosikal di lorong kecemasan.

Rakaman kamera papan pemuka menunjukkan seorang lelaki seolah-olah cuba untuk membaling objek ke arah kenderaan di Jalan Temiang-Pantai, Seremban. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis sedang mengesan seorang lelaki selepas perbuatannya cuba membaling objek terhadap sebuah kenderaan lain dirakam di Jalan Temiang-Pantai, Seremban, semalam.

Rakaman video berdurasi 11 saat yang tular di media sosial dipercayai berlaku selepas pemandu kenderaan terbabit membunyikan hon kepada sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti di lorong kecemasan di laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada tengah hari Ahad.

“Terdapat sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti dan meletakkan kenderaan di laluan kecemasan di lokasi kejadian.

“Pada masa sama, rakaman dari kamera papan pemuka tersebut turut memaparkan seorang individu seakan-akan cuba membaling objek ke arah kenderaan perakam,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Menurutnya, bertindak atas rakaman yang diperoleh, satu siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pesalah yang terlibat.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan halangan di atas jalan yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.