
Pengerusinya Zaliha Mustafa berkata, bagaimanapun pihaknya berjaya mengatasi cubaan itu.
“Berkaitan sistem, ada percubaan (godam) kita tak nafikan, memang percubaan tu tak dapat masuk sebab kita dapat atasi,” katanya kepada FMT.
Zaliha berkata demikian sebagai mengulas dakwaan seorang calon naib presiden PKR bahawa berlaku “penipuan internet” pada pemilihan parti itu yang menyaksikan kemenangan bergaya buat kumpulan tertentu.
Calon itu berkata, selain Gombak, beberapa bahagian lain seperti Tanah Merah, Bachok, Tanjong Karang dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak turut membuat bantahan berkaitan hasil keputusan serta menggesa JPP melakukan audit forensik.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, pihaknya akan meneliti bantahan yang dibuat kerana baginya sistem pemilihan harus berjalan dengan baik.
“Kalau boleh kita nak kena laksanakan (audit forensik) cepat sebelum keputusan rasmi dibuat, iaitu ketika Kongres PKR. JPP belum putuskan tarikh,” katanya.
Ditanya adakah pemilihan semula akan dibuat jika pertikaian terus berlaku, Zaliha berkata, sukar untuk menjelaskan perkara itu.
“Susah nak jawab tapi kita tengok keputusan audit nanti macam mana. Saya rasa kita kena telus dari sudut itu kalau perlu kepada pemilihan semula. Tapi setakat ini tak berani cakap sebab kita tak tahu apa nak jadi,” katanya.