‘Mandi Telaga Tok Syeikh’, MB serah jabatan agama siasat dakwaan khurafat di Gunung Jerai

‘Mandi Telaga Tok Syeikh’, MB serah jabatan agama siasat dakwaan khurafat di Gunung Jerai

Dakwaan itu susulan penularan video amalan mandi dan berwuduk di Telaga Tok Syeikh sebelum menaiki Gunung Jerai untuk melakukan ritual seterusnya.

Paparan video yang tular di media sosial sehingga mencetuskan dakwaan amalan khurafat di Gunung Jerai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) akan menyiasat sama ada berlaku aktiviti khurafat di Gunung Jerai seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya tidak mahu sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum yang amalan mandi di Telaga Tok Syeikh itu sebagai khurafat kerana ia bergantung kepada niat seseorang berbuat demikian.

“Mandi tak khurafat, mandi ok saja macam mandi di Telaga Tok Syeikh sama macam mandi di rumah dan air terjun. Sama saja yang mana dua-duanya guna air, niat itu apa, kalau saja aku mandi ka, mandi saja-saja ka, dua-dua itu boleh.

“Ada orang yang naik meratib, naik bertapa, ada orang naik (untuk) rekreasi, ada orang anggap air telaga ini boleh buat ubat…jadi saya serah kepada pihak berkuasa untuk siasat benda-benda macam ini,” katanya menurut laporan Bernama.

Klip video berdurasi satu minit itu antara lain memaparkan amalan mandi dan berwuduk di Telaga Tok Syeikh sebelum mereka dipercayai menaiki gunung berkenaan untuk melakukan ritual seterusnya.

Sanusi berkata, aktiviti bertentangan dengan syariat Islam tidak semestinya berlaku di atas Gunung Jerai sahaja malah kemungkaran yang berlaku “di bawah” lebih banyak.

Dalam perkembangan lain, Sanusi berkata, kerajaan negeri terpaksa menangguhkan kerja membaik pulih saluran paip dasar laut yang bocor membabitkan peruntukan RM50 juta sehingga pengauditan integriti saluran paip itu selesai.

Katanya, audit itu perlu dilakukan untuk memastikan kerja baik pulih saluran paip dasar laut dari tanah besar ke Langkawi akan lebih efisien selain mengelakkan daripada berlaku kebocoran baharu.

“Jika kita tidak menjalankan audit integriti pada saluran paip, terdapat risiko tekanan air yang kuat akan menyebabkan kebocoran baharu pada saluran paip.

“Jadi, kita perlu menjalankan audit terlebih dahulu supaya kita boleh yakin saluran paip ini selamat untuk kerja pembaikan, jika tidak kita akan membazir RM50 juta yang dibelanjakan untuk membaik pulih 23 lubang sedia ada di sepanjang saluran paip itu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan persekutuan untuk menjalankan audit itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.