Polis serbu kondo proses dadah, rampas ekstasi RM26.5 juta

Polis serbu kondo proses dadah, rampas ekstasi RM26.5 juta

Kegiatan itu dipercayai aktif sejak hujung tahun lalu dengan dadah diproses untuk dijual kepada pelanggan kelab malam serta pasaran tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan alatan untuk memproses dadah yang dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menyerbu dua unit kondominium mewah dijadikan tempat pemprosesan dadah jenis ekstasi di sekitar ibu negara, dan menahan seorang lelaki disyaki dalang kegiatan itu serta tiga wanita warga China disyaki terbabit, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata semua mereka berumur 48 hingga 56 tahun itu ditahan dalam serbuan bermula pada 4.30 petang.

Beliau berkata, kondominium mewah itu disewa RM2,500 sebulan tiap satu unit dan ia digunakan sebagai tempat untuk memproses dadah, sebelum dijual kepada pelanggan di kelab malam serta pasaran tempatan, dan kegiatan mereka dipercayai aktif sejak hujung tahun lalu.

“Sejumlah pil dan serbuk dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai RM26.5 juta dan dua kenderaan, wang tunai, jam tangan serta barang kemas dirampas dalam serbuan itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati tiga wanita warga asing itu masuk ke negara ini empat hingga lima tahun lepas menggunakan pas lawatan sosial.

Beliau berkata, semua mereka yang didapati negatif dadah dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ayob berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang bekas diplomat Malaysia bersama anak lelakinya yang ditahan kerana disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja di Janda Baik, Pahang, pada 21 Mei lalu.

“Bekas diplomat berusia 78 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat semalam, dan anaknya masih ditahan reman sehingga esok, mungkin akan disambung reman,” katanya.

Katanya, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

Selasa lepas media melaporkan polis menahan seorang bekas diplomat bergelar Datuk dan anak lelakinya berusia 53 tahun yang dipercayai terlibat menanam 102 pokok disyaki ganja di sebuah rumah di Kampung Sum Sum, Janda Baik, Bukit Tinggi, Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.