
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita, malah ada antaranya dijadikan panduan pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti penyaluran bantuan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang dibangkitkan oleh media. Semua kementerian dan agensi kerajaan sentiasa memberi kerjasama kepada media dalam membantu memudahkan penyaluran maklumat yang seimbang, tepat, sahih dan memuaskan hati seluruh Keluarga Malaysia.
“Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan oleh kerajaan dalam penyaluran maklumat demi kepentingan Keluarga Malaysia dan pembangunan negara,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di sini hari ini.
Turut hadir pada sambutan Hawana tahun ini bertemakan “Suara Jelata, Aspirasi Negara” adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dan pemimpin media utama dalam negara dan Indonesia.
Perdana Menteri mengakui golongan wartawan melaksanakan fungsi media sebagai estet keempat bersama pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman yang saling berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan agenda pembangunan negara.
“Saya amat menghargai sumbangan wartawan dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan termasuk teguran bernas dan berasas supaya kerajaan dapat menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat selaras dengan hasrat dan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, wartawan dianggap sebagai golongan pemikir kerana sentiasa memperoleh informasi segar dan terkini sebelum mencambahkan buah fikiran dan idea bernas bagi memperkayakan penulisan untuk menjamin Keluarga Malaysia yang berinformasi.
Selain itu, perdana menteri berkata menjadi harapan kerajaan agar golongan wartawan terus menyiarkan laporan adil dan proaktif dalam mengeluarkan cadangan bagi penyelesaian kepada sesuatu isu dibangkitkan.
“Saya yakin langkah ‘semak dan imbang’ terhadap setiap informasi yang diterima sebelum disebarkan tetap menjadi amalan media bagi mengelak berlaku sebarang salah lapor yang boleh menjejaskan juga integriti dan kepercayaan ramai terhadap media,” katanya.