Khir Toyo mahu buat ‘kemunculan semula’, tawar tanding Parlimen Sungai Besar

Khir Toyo mahu buat ‘kemunculan semula’, tawar tanding Parlimen Sungai Besar

Bekas menteri besar Selangor berkata hasratnya mahu bertanding demi mengembalikan semula kerusi itu kepada Umno.

Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berkata hasratnya mahu bertanding di Parlimen Sungai Besar terpulang kepada keputusan pucuk pimpinan. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, menyatakan hasrat secara terbuka bertanding kerusi Parlimen Sungai Besar, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bertujuan mengembalikan semula kerusi berkenaan kepada Umno.

Bekas ADUN Sungai Panjang itu yakin dengan penerimaan dan sokongan kuat penduduk tempatan kepadanya.

“Tujuan saya (bertanding) hanya mahu memastikan kemenangan parti dan bukannya ada tujuan lain.

“Bagaimanapun, segala keputusan terserah kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Kerusi Parlimen Sungai Besar ketika ini disandang wakil rakyat Bersatu, Muslimin Yahya, yang juga timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi, selepas menang dengan majoriti 714 undi.

Dalam pada itu, mengulas berhubung spekulasi Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, yang disebut-sebut akan bertanding di Sungai Besar, Khir berkata, perkara berkenaan terserah kepada pimpinan parti untuk menilai.

“Saya tidak mahu komen lanjut kerana tidak pernah berjumpa atau mengenali beliau (Tengku Zafrul).

“Apa yang ingin saya tegaskan, sekiranya beliau terpilih (bertanding), kita perlu memastikan kerusi itu menang nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.