Ibu, nenek saudara direman 4 hari bantu siasatan kes dera 2 beradik

Ibu, nenek saudara direman 4 hari bantu siasatan kes dera 2 beradik

Dua wanita itu ditahan semalam susulan gambar dua kanak-kanak dengan muka lebam sedang makan di medan selera di George Town.

Dua wanita yang berusia 28 dan 52 tahun itu direman sehingga 31 Mei ini bagi membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Dua wanita yang ditahan semalam kerana disyaki terbabit dengan penderaan dua kanak-kanak di Air Itam, George Town, Pulau Pinang, direman empat hari mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata, suspek berusia 28 dan 52 tahun itu yang merupakan ibu serta nenek saudara kanak-kanak terbabit direman sehingga 31 Mei ini bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua wanita itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga 31 Mei dan ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Semalam, media melaporkan gambar dua kanak-kanak dengan muka lebam yang sedang makan di medan selera di George Town membawa kepada penahanan seorang ibu dan nenek saudara.

Susulan laporan yang dibuat orang awam, dua suspek itu ditahan di sebuah flat Air Itam kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan seorang kanak-kanak perempuan lima tahun.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.