
R Sivakumar, 56, membuat laporan polis terhadap universiti itu, hari ini, selain menggesa siasatan menyeluruh “untuk mengetahui sama ada mereka menyelenggara bangunan itu dengan betul”.
Anak perempuannya, S Vinosiny, 21, ditemui mati, Ahad lalu, dan polis belum mengesahkan punca kematian sementara menunggu laporan bedah siasat.
Sivakumar berkata, dalam laporan yang dibuat di Klang, polis perlu menyiasat sama ada bangunan itu mempunyai sijil kelayakan, asrama itu diperiksa selepas ia ditinggalkan kosong selama dua tahun kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).
Peguam Sivakumar, M Manoharan berkata, laporan polis itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang diambil keluarga mendiang terhadap universiti itu.
“Kami mahukan ketelusan dalam perkara itu kerana kematiannya misteri. Saya percaya UUM mesti bertanggungjawab ke atas kecuaian jenayah,” katanya.
Universiti juga telah memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tidak akan menyembunyikan kematian Vinosiny yang mana polis mengklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Enam pegawai dari Suruhanjaya Tenaga dan polis telah melawat asrama untuk menyiasat kejadian itu.
Petang tadi, pihak universiti mengeluarkan perintah agar pelajar tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti atau penganjuran seperti forum atau dialog, menganjurkan atau menghadiri sebarang acara berhubung kematian Vinosiny.
Notis itu juga menyebut pelajar perlu bertenang memandangkan kes masih dalam siasatan polis.