Tak ada halangan parti bertukar sokongan, kata ahli Parlimen, peguam

Tak ada halangan parti bertukar sokongan, kata ahli Parlimen, peguam

Rang Undang-Undang anti-lompat dibentuk bagi menghalang ahli Parlimen secara individu melompat ke parti lain, dan bukannya halangan terhadap parti bertukar sokongan.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan peguam Philip Koh, berkata, cadangan undang-undang anti-lompat hanya menumpukan kepada halangan ahli Parlimen melompat ke parti lain.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR dan peguam senada bahawa cadangan rang undang-undang (RUU) anti-lompat tidak mampu menghalang berulangnya Langkah Sheraton, dengan berkata, cadangan itu tidak digubal bagi mengelak kejadian seperti itu.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, RUU anti-lompat dicadangkan bagi menghalang ahli Parlimen daripada khianat kepada parti, bukannya menghentikan entiti politik berpindah sokongan.

“RUU anti-lompat tidak dirangka untuk menghalang satu lagi Langkah Sheraton. Masalah timbul apabila individu lompat ke parti lain,” katanya kepada FMT.

Wong Chen merujuk kepada Langkah Sheraton yang berlaku hasil kombinasi parti politik (Bersatu) meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH), termasuk beberapa ahli Parlimen yang bertukar parti.

“Sekiranya kita mempunyai undang-undang anti-lompat, Langkah Sheraton akan mengalami kegagalan kerana ahli Parlimen secara individu yang khianat kepada partinya secara automatik hilang kerusi,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang anti-lompat tidak dapat menghalang berulangnya Langkah Sheraton kerana undang-undang itu tidak terpakai kepada ahli Parlimen yang dipecat parti.

Menurut laporan, Wan Junaidi berkata, amalan parti bertukar gabungan menjadi isu utama yang dibangkitkan sejak Jan, namun Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen merangka RUU itu mengikut amalan antarabangsa.

Di negara lain katanya, undang-undang anti-lompat hanya menghalang individu melompat daripada parti, selain menambah bahawa banyak gabungan pemerintah hanya dibentuk selepas pilihan raya.

Wong Chen yang bersetuju dengan kenyataan itu berkata, tiada undang-undang di dunia yang mampu menghalang keseluruhan parti bertukar kem dan Malaysia akan menjadi perintis sekiranya menguatkuasakan undang-undang seperti itu.

Dalam pada itu, peguam Philip Koh yang juga profesor adjung dari Universiti Malaya, berkata parti politik perlu diberi hak bergabung atau keluar bagi membentuk gabungan.

“Ia adalah bahagian penting dalam demokrasi yang tidak boleh dikuatkuasakan menerusi undang-undang,” katanya kepada FMT.

Koh berkata, sama ada Langkah Sheraton akan kembali berulang atau sebaliknya lebih menjurus kepada bagaimana ahli Parlimen memandang mandat yang diberikan rakyat ketika membuat keputusan.

“Pengkhianatan mandat akan dihukum pengundi, tetapi ia mungkin berlaku atau tidak berlaku langsung,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Charles Santiago berkata, kenyataann Wan Junaidi “sangat membimbangkan” dan menggesa ahli dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen menyuarakan pandangan mereka berhubung perkara berkenaan.

“Tujuan RUU anti-lompat bagi menghalang berlakunya proses tidak demokratik dengan kerajaan dijatuhkan menerusi kudeta dalaman,” kata wakil rakyat Klang itu kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.