Kerajaan digesa segera lantik pesuruhjaya Suhakam baharu

Kerajaan digesa segera lantik pesuruhjaya Suhakam baharu

Tanpa pesuruhjaya, Suhakam tidak dapat berfungsi, kata sekumpulan NGO.

Penggal pesuruhjaya Suhakam terdahulu tamat pada 27 April.
PETALING JAYA:
Lapan NGO menggesa Putrajaya melantik pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) baharu dengan segera selepas sebulan suruhanjaya itu dibiarkan “mati”.

Penggal pesuruhjaya terdahulu tamat pada 27 April dan kata kumpulan itu, Suhakam tidak boleh berfungsi tanpa pesuruhjaya.

Ia juga mempersoalkan bagaimana Suhakam dilaporkan menjalankan siasatan mengenai pencabulan hak terhadap doktor muda di hospital awam sedangkan ia tidak mempunyai pesuruhjaya.

“Apabila tiada pesuruhjaya, seperti yang berlaku sepanjang sebulan lepas, Suhakam tidak dapat berbuat apa-apa, termasuk mengeluarkan kenyataan, melantik serta memberi arahan kepada kakitangan.

“Memandangkan ia mempunyai peranan yang penting dalam mempromosi dan membela hak asasi manusia, adalah memalukan bagi Suhakam apabila berada dalam keadaan ‘koma’ disebabkan kegagalan kerajaan memastikan ia sentiasa mempunyai pesuruhjaya,” katanya dalam kenyataan bersama.

Ia juga menggesa agar individu yang tepat dilantik dalam Suhakam bagi memastikan suruhanjaya itu kekal lantang, bukan “pro-kerajaan” bagi menegakkan hak asasi manusia di negara ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Aliran, Malaysians Against Death Penalty and Torture, Greenpeace Malaysia, International Women’s Rights Action Watch Asia Pacific, Network of Action for Migrants in Malaysia, Saya Anak Bangsa Malaysia, Teoh Beng Hock Trust for Democracy dan Workers Hub For Change.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.