Cari kaedah kurangkan serangan buaya di Sarawak, kata Wan Junaidi

Cari kaedah kurangkan serangan buaya di Sarawak, kata Wan Junaidi

Sejak 2016, konvensyen antarabangsa membenarkan Sarawak membunuh buaya secara sistematik kerana populasi reptilia itu yang terlalu banyak.

Pasukan hidupan liar Sarawak Forest Corporation memindahkan buaya sepanjang 4m dengan berat 200kg, di Kampung Bako, 30km dari Kuching, pada 2019. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa negeri boleh menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik bagi mengurangkan jumlah haiwan itu di Sarawak, kata Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, langkah itu boleh dilakukan tanpa perlu mendatangkan kepupusan memandangkan Sarawak berjaya dikeluarkan daripada Jadual 1 kepada 2 Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) susulan kebimbangan populasi buaya yang terlalu banyak di negeri itu sejak 2016.

Katanya, biarpun sudah berada dalam Jadual 2, populasi reptilia ini masih tidak dapat dikawal sehinggakan serangan berlaku bukan sahaja di kawasan pedalaman, malah di kawasan bandar.

“Dengan jumlah buaya yang banyak, sudah pasti selagi adanya saliran air, longkang, parit, sungai dan kuala, pasti akan ada buaya dan adanya mangsa,” katanya menurut laporan Bernama.

Susulan itu, beliau meminta agensi kerajaan yang berkaitan melaksanakan langkah proaktif dan holistik bagi memastikan kejadian serangan buaya tidak berulang lagi.

“Saya mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden melibatkan reptilia itu tidak mengganggu kehidupan penduduk Sarawak,” katanya yang juga bekas menteri sumber asli dan alam sekitar.

Kenyataan itu merujuk kepada kekerapan berlakunya insiden serangan buaya di Sarawak dengan dua kejadian terbaharu melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Kampung Nyabut, Telaga Air dekat Kuching dan seorang lelaki 56 tahun di Sungai Ahong, Lundu, kedua-duanya di kawasan Parlimen diwakilinya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi yang juga menteri di jabatan perdana menteri (Undang-undang dan Parlimen), berkata, masyarakat perlu diberi peluang menceburkan diri dalam industri kulit dan daging buaya sebagai satu daripada pendekatan untuk mengawal populasi reptilia itu.

Katanya, penglibatan masyarakat boleh dilaksanakan menerusi kawalan dan bimbingan pihak berkuasa untuk membolehkan mereka menyertai industri yang mencatatkan keuntungan berbilion ringgit di peringkat global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.