
Beliau berkata, tidak mustahil jika pindaan itu tidak disegerakan, krisis kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan institusi politik akan menyebabkan kadar peratusan mengundi semakin rendah pada pilihan raya umum akan datang.
“Apabila Zuraida yang pernah keluar daripada PKR kemudian menyertai Bersatu dan kini keluar pula untuk menyertai PBM, ia memberikan (gambaran) seolah-olah sangat mudah bagi wakil rakyat di negara ini untuk bertukar parti mengikut selera dan cita rasa sendiri.
“Tindakan lompat demi lompat sudah pasti mengecewakan rakyat dan menunjukkan tiada kawalan terhadap wakil rakyat yang bebas buat apa-apa sahaja,” katanya di Facebook, hari ini.
Zahid berkata, tindakan lompat parti akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap wakil rakyat dan parti politik semakin terhakis kerana ia seolah-olah mempermainkan undi rakyat.
Terhadulu, Zuraida mengumumkan keluar Bersatu selepas membuat keputusan untuk menyertai PBM dan beliau akan bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri.
Justeru Zahid menggesa agar Ismail tidak lagi berkompromi terhadap ahli Parlimen lompat parti yang kemudian kekal sebagai menteri Kabinet.
Menurutnya, ia adalah sebahagian tanda sokongan terhadap ketegasan dalam menangani isu lompat parti dalam kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang anti-lompat.
“Ramai lagi ahli Parlimen yang setia terhadap parti dan tidak melompat parti wajar dipertimbangkan untuk mengisi jawatan menteri yang dipegang oleh Zuraida,” katanya