Akta anti-lompat parti tak terpakai kepada ahli Parlimen dipecat parti, kata menteri

Akta anti-lompat parti tak terpakai kepada ahli Parlimen dipecat parti, kata menteri

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata akta anti-lompat parti dijangka dibentangkan seawal pertengahan Julai ini.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
PETALING JAYA:
Akta anti-lompat parti yang dijadualkan dibentang Julai ini tidak terpakai kepada ahli Parlimen yang dipecat parti mereka, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata, ahli Parlimen yang dipecat oleh parti masih boleh mengekalkan kedudukan masing-masing di kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.

Bagaimanapun katanya, mana-mana ahli Parlimen yang melompat dari satu parti yang diwakilinya ketika pilihan raya ke parti lain atau menjadi ahli Parlimen bebas dan mana-mana ahli Parlimen bebas yang menyertai parti politik boleh kehilangan kerusi masing-masing.

Dalam kes ini, kerusi ahli Parlimen akan dikosongkan secara automatik.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan bahawa akta anti-lompat parti dijangka dibentangkan seawal pertengahan Julai ini, iaitu ketika Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat Penggal Kelima yang bermula 18 Julai nanti.

Beliau berkata, jika ia dapat dibentang dan diluluskan pada sidang terbabit, ia boleh diwartakan seawal Januari depan.

Wan Junaidi menjangkakan akta anti-lompat parti itu dibentangkan pada pertengahan Julai semasa mesyuarat Dewan Rakyat tahun ini.

“Bagaimanapun jika sidang khas Parlimen diadakan pada Jun, undang-undang ini boleh diwartakan seawal September ini.

“Jika dibentangkan pada Julai, saya yakin menjelang Januari depan, undang-undang ini boleh diwartakan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Bagaimanapun beliau berkata, ia sukar dicapai kerana Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempunyai jadual padat pada Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.