Ringgit lemah, kos pengangkutan naik tak selesai masalah harga barang, kata DAP

Ringgit lemah, kos pengangkutan naik tak selesai masalah harga barang, kata DAP

Setiausaha agung DAP berkata lambakan bahan makanan dengan harapan melihat harga turun tidak akan berjaya kerana kedudukan lemah ringgit, termasuk kos pengangkutan meningkat.

Negara dijangka terus berdepan peningkatan harga barang susulan kelemahan ringgit dan kenaikan kos pengangkutan, kata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.
PETALING JAYA:
Pemansuhan permit import (AP) makanan tidak mampu menyelesaikan masalah peningkatan harga makanan susulan kelemahan nilai ringgit, selain peningkatan mendadak kos pengangkutan, kata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook

Beliau berkata, walaupun memahami tindakan kerajaan itu untuk mewujudkan lambakan bahan makanan bagi menurunkan harga bahan makanan ke negara ini, namun ia tidak mengambil kira kelemahan nilai mata wang negara.

“Lambakan barangan import…harga turun, itu yang diharapkan tapi jangan lupa bahawa nilai mata wang kita rendah..lingkungan RM4.30 berbanding USD1.

“Harga barangan (makanan) mahal, tambahan bekalan tak cukup susulan perang Rusia-Ukraine. Rantaian bekalan juga tergugat dengan kos pengangkutan meningkat mendadak,” katanya dalam bual bicara disiarkan di Facebook rasmi DAP.

Loke berkata, sejumlah RM50 bilion setahun dibelanjakan negara ini untuk mengimport bahan makanan.

Katanya, apabila kita mengimport kos membawa masuk barangan juga tinggi, sekali gus menyukarkan kos bahan makanan dikurangkan di negara ini.

Pada 18 Mei, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju memansuhkan AP bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, tindakan itu diputuskan demi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Loke ketika mengulas berhubung penghentian eksport bekalan ayam berkata, tindakan itu tidak mampu memberi penyelesaian dalam meningkatkan bekalan.

“Negara mengeksport 3.6 juta ekor ayam sebulan, kalau sehari 120,000 ekor ayam sahaja. Keperluan permintaan sehari dalam negara lapan hingga 10 juta ekor. Walaupun larang eksport, anda tak dapat selesaikan sehari punya bekalan,” katanya.

Katanya, masalah bekalan ayam sudah berlanjutan berbulan-bulan dan pihak kementerian berkenaan perlu mengambil sikap proaktif lebih awal.

“Bukannya tunggu satu masalah menjadi krisis baharu nak tunjuk hero. Adakah kerajaan benar faham permasalahan yang berlaku? Mereka tak cukup pemahaman terhadap sesuatu isu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.