Menteri ‘call’ arah langgar undang-undang, pegawai kena rekod, kata bekas KSN

Menteri ‘call’ arah langgar undang-undang, pegawai kena rekod, kata bekas KSN

Bekas ketua setiausaha negara Abdul Halim Ali berkata catatan rekod peribadi itu penting kerana sebarang arahan melanggar undang-undang dan peraturan tidak dikeluarkan menerusi surat.

Tindakan merekodkan arahan yang dikeluarkan oleh menteri dan ahli politik yang dianggap melanggar undang-undang perlu dibuat sebagai bukti bahawa pegawai ‘terpaksa’ mematuhi arahan atasan, kata bekas ketua setiausaha negara Abdul Halim Ali.
PETALING JAYA:
Pegawai kerajaan perlu merekodkan secara peribadi arahan menteri mahu pun ahli politik yang menghendaki mereka melakukan perkara yang bercanggah undang-undang dan peraturan, kata bekas setiausaha negara Abdul Halim Ali.

Katanya, tindakan itu penting berdasarkan pengalamannya memandangkan “arahan” sedemikian tidak dikeluarkan secara bertulis, malah dilakukan menerusi “panggilan telefon” sahaja.

“Menteri tak akan ‘issue’ (keluarkan) surat tolong buat ini…dia ‘call’ sahaja,” katanya dalam wawancara Sinar Harian bersama tokoh wartawan, Johan Jaafar.

Halim yang juga presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) berkata, ketika perkhidmatannya, beliau ada memberi arahan kepada pegawainya supaya menasihatkan ahli politik jika mereka mahu melakukan sesuatu yang tidak betul.

“Mereka (pegawai) patut beritahu kepada menteri atau orang politik berkenaan bahawa apa yang diminta itu tidak boleh dilaksanakan oleh kerana undang-undang ini, peraturan ini.

“Kalau dia nak buat juga, pegawai mesti rekodkan apa yang disuruh, dibuat dan rekod itu diberitahu kepada pegawai tinggi kementerian bahawa mereka telah diminta melaksanakan tugas ini yang sebenarnya tidak boleh dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu perlu dilakukan sebagai “persediaan” sekiranya timbul masalah pada kemudian hari.

“Mana tahu, satu hari nanti perkara itu terbongkar pihak ‘anti-corruption’ (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) datang dan sebagainya, sekurangnya kita ada bukti bahawa kita telah menasihat menteri atau pegawai berkenaan tapi mereka nak buat juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.