JPA tak jawab isu, etika pakaian sekadar nasihat atau kuat kuasa undang-undang, soal Ngeh

JPA tak jawab isu, etika pakaian sekadar nasihat atau kuat kuasa undang-undang, soal Ngeh

Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham berkata etika pemakaian orang awam ketika berurusan bukan bermakna perkhidmatan kerajaan kepada mereka boleh dinafikan.

Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham merujuk insiden seorang peguam wanita memakai skirt paras lutut namun dibenarkan masuk ke mahkamah, tetapi tidak dibenarkan masuk ke Jabatan Pendidikan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, mendakwa jabatan kerajaan hanya boleh menasihati etika pemakaian orang awam ketika berurusan dengannya, tetapi tidak boleh menafikan perkhidmatan kepada mereka.

Ngeh turut memberi contoh seorang peguam wanita yang pakaiannya diterima di mahkamah, namun tidak dibenarkan masuk ke Jabatan Pendidikan kerana skirt yang dikenakannya hanya paras lutut.

Beliau juga mempersoalkan sama ada jabatan kerajaan mempunyai kuasa undang-undang untuk menetapkan kod pakaian sebagai satu peraturan yang boleh dikuatkuasakan, bukannya sekadar nasihat semata-mata.

Menurutnya, JPA dikira melanggar prinsip keempat Rukun Negara, iaitu Kedaulatan Undang-Undang jika berkeras membuat peraturan kod pakaian memandangkan tiada undang-undang yang memberikannya kuasa sedemikian.

“Mana-mana kod pakaian hendaklah hanya bersifat nasihat sahaja dan tidak boleh sekali-kali dilaksanakan sebagai satu peraturan dengan kuat kuasa undang-undang.

“Memandangkan perkara ini melibatkan isu undang-undang, JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) haruslah merujuk perkara ini kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan pandangannya,” katanya.

Ketika mengulas lanjut Ngeh berkata, Ketua Pengarah JPA Mohd Shafiq Abdullah gagal menjawab isu yang dibangkitkan berhubung kod pakaian orang awam.

“Beliau sekadar mengulangi alasan yang dinyatakan oleh Presiden Cuepacs, Adnan Mat bahawa kod pakaian adalah selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya.

Dalam kenyataan semalam Shafiq mempertahankan kod pemakaian yang ditetapkan kepada orang ramai ketika berurusan di pejabat kerajaan.

“Penetapan etika berpakaian ini adalah bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan bersama, selaras dengan prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.