Cuepacs gesa kerajaan naik taraf sistem imigresen

Cuepacs gesa kerajaan naik taraf sistem imigresen

Penggunaan sistem terkini akan membolehkan urusan berjalan lancar sekali gus memberi kemudahan kepada rakyat yang melakukan urusan.

Ketika ini Jabatan Imigresen melanjutkan waktu operasi hingga 10 malam membabitkan pejabatnya di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menaik taraf sistem yang diguna pakai oleh Jabatan Imigresen dan agensi yang lain supaya perkhidmatan awam berjalan dengan lebih efisien dan lancar.

Presidennya Adnan Mat berkata, penggunaan sistem terkini akan membolehkan perkhidmatan yang diberikan berjalan lancar sekali gus memberi kemudahan kepada rakyat yang melakukan urusan.

“Kakitangan yang tidak mencukupi juga perlu ditambah dan diisi dengan segera bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa akan datang.

“Dalam situasi yang berlaku di Jabatan Imigresen ketika ini sudah pasti akan mengakibatkan kekangan untuk mengatur sumber manusia kerana pertambahan waktu operasi,” katanya dalam kenyataan.

Ketika ini Jabatan Imigresen melanjutkan waktu operasi sehingga jam 10 malam membabitkan pejabatnya di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Perkhidmatan kaunter imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis turut dilanjutkan sehingga jam 10 malam dan sehingga jam 12.30 tengah hari pada setiap Sabtu.

Adnan turut menggesa ketua jabatan memberi perhatian berkaitan kebajikan dan keselamatan kakitangan kerana ada antara mereka bekerja seawal 4.30 pagi dan pulang lewat malam.

“Susun aturlah penggunaan sumber manusia dengan sebaiknya agar tidak berlaku tekanan kerja dalam kalangan kakitangan. Bekalkan semua kakitangan yang terlibat dengan peralatan dan sistem terbaik. Pengorbanan mereka ini juga sewajarnya dihargai oleh semua pihak, bukannya dicemuh,” katanya

Adnan sebelum itu membuat tinjauan di pejabat imigresen UTC Johor Bahru bagi melihat keadaan sebenar setelah menerima aduan berhubung kesesakan orang ramai yang perlu beratur panjang untuk urusan mereka di jabatan tersebut.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, dakwaan bahawa jabatan itu itu tidak melaksanakan penambahbaikan bagi mengatasi kesesakan adalah tidak berasas.

“Cuepacs ingin menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan dan urusan ke luar negara dengan tidak melakukan percutian mengejut. Urusan yang dibuat pada saat-saat akhir dan mengejut sudah pasti akan menyulitkan semua pihak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.