
Ketua Pengarah JIM, Ruslin Jusoh, berkata operasi bermula 12 tengah malam itu dilakukan susulan risikan sejak beberapa minggu lalu berhubung kehadiran hampir 80% penghuni warga asing di situ.
Katanya, ia sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan.
“Operasi dibantu dengan kekuatan 532 anggota terdiri daripada pegawai-pegawai JIM, polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Kita menggeledah hampir semua unit di tujuh blok yang ada, yang mana 752 warga asing diperiksa dan seramai 561 ditahan.
“Kita bawa mereka ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk semakan dokumen sebab ada mengatakan majikan memegang dokumen,” katanya, menurut Utusan Malaysia.
Seramai 42 daripada warga asing yang ditahan itu terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh (205 orang), Myanmar (200 orang) serta Nepal (65 orang).
Selain itu terdapat juga warga Pakistan (38 orang), Sri Lanka (3), masing-masing dua warga India, Kemboja, Sierra Leone dan seorang lagi warga Cameroon.
Semua yang ditahan berusia antara tiga bulan hingga 55 tahun.
Dalam pada itu, Ruslin berkata kebanyakan mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Katanya, kesalahan tersebut adalah gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa daripada tempoh dibenarkan.
“Bagaimanapun, kita akan buat semakan semula setelah kesemua mereka dihantar ke depoh tahanan dan bagi yang memiliki dokumen pekerjaan serta perjalanan yang sah akan dibebaskan.
“(Bagi) siapa yang didapati bersalah di bawah Akta Imigresen tersebut, kita akan tahan di depoh untuk tindakan lanjut,” katanya yang menegaskan akan terus menjalankan operasi untuk mengesan warga asing.