Ahli Parlimen gesa kerajaan Selangor tolak pembinaan PJD Link

Ahli Parlimen gesa kerajaan Selangor tolak pembinaan PJD Link

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin berkata pemaju lebuh raya itu sehingga kini tidak mengemukakan kajian impak sosial, alam sekitar dan pengangkutan.

Banyak mesyuarat dan bantahan konkrit dibangkitkan untuk menghentikan PJD Link tetapi ia seolah-olah tidak didengar, menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin menggesa kerajaan Selangor menolak projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) dan mencari alternatif sistem pengangkutan awam yang mampan.

Katanya, pemaju PJD Link sehingga kini tidak menunjukkan kepada kerajaan negeri mahupun penduduk yang terjejas tiga kajian wajib, iaitu kajian impak sosial, alam sekitar dan pengangkutan.

“Sebelum ini, projek ini dilabel sebagai Kidex (Lebuhraya Kinrara-Damansara) tetapi ditolak kerana mempunyai laluan yang tidak praktikal serta melintasi kawasan kediaman dan komersial yang besar.

“Ini menyebabkan banyak penduduk dan syarikat berpindah kerana pemerolehan harta secara besar-besaran diperlukan untuk memberi laluan kepada lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maria berkata, banyak mesyuarat dan bantahan konkrit dibangkitkan untuk menghentikan PJD Link tetapi ia seolah-olah tidak didengari terutama oleh Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.

Katanya, adalah pra-matang bagi menteri terbabit untuk meluluskan kerja-kerja pembangunan tanpa berunding terlebih dahulu dengan kerajaan negeri dan penduduk.

“Terdapat banyak cara untuk menyelesaikan masalah ini dan membangunkan satu lagi lebuh raya bertingkat adalah langkah yang salah.

“Semua lebuh raya ini memerlukan kelulusan kerajaan negeri masing-masing setelah menunjukkan ia memenuhi tiga laporan seperti saya katakan tadi,” katanya.

Beliau berkata, satu mesyuarat perundingan antara kerajaan negeri, wakil rakyat dan penduduk perlu diadakan dalam menyelesaikan kedudukan Selangor dalam PJD Link .

“Dengarlah suara rakyat Petaling Jaya mengenai lebuh raya bertingkat yang tidak wajar. Menteri tidak peka terhadap apa yang diperkatakan orang ramai mengenai pembangunan lebuh raya bertingkat yang pesat.

“Saya bersetuju bahawa kesesakan lalu lintas perlu diselesaikan dan perlu mencari jalan alternatif sama ada membanyakkan lagi pengangkutan awam.

“Sistem pengangkutan bawah tanah atau pintar akan membantu mengurangkan kesesakan, menyediakan akses mobiliti yang lebih besar untuk golongan muda, warga emas dan kurang upaya dan pastinya menyelamatkan bumi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.