
Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Barjoyai Bardai berkata, pertikaian melibatkan mekanisme subsidi telah merencatkan rancangan itu, khususnya berkaitan siapakah yang layak menerima subsidi bahan api berdasarkan kapasiti enjin.
“Kita turut difahamkan kerajaan membangunkan satu aplikasi untuk menyasarkan pemberian subsidi bahan api dengan lebih baik, namun ia berdepan masalah. Kini kita dengar kerajaan bersemangat mahu melaksanakan pelan ini.
“Jadi saya gesa supaya pihak yang sewajarnya memilih mekanisme dan aplikasi yang tepat untuk ‘menggerakkan’ perkara ini,” katanya kepada FMT.

Kenyataannya itu adalah susulan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini bahawa skim subsidi bersasar sedang dipertimbangkan memandangkan kos subsidi bernilai hampir RM30 bilion terlalu tinggi untuk ditanggung oleh kerajaan.
Barjoyai berkata, subsidi bahan api yang disasarkan akan membantu harga bahan api mengatasi turun naik harga minyak mentah.
Apabila harga minyak mentah rendah katanya, kerajaan akan dapat menggunakan lebihan dana untuk memberi subsidi kepada semua orang dan apabila harga minyak naik, ia akan memberi subsidi kepada mereka yang layak sahaja.
“Pada dasarnya, kerajaan akan dapat memberi subsidi silang kepada semua orang tanpa mengira pendapatan atau kapasiti enjin,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia khuatir jualan akan turun mendadak jika subsidi bersasar diperkenalkan.
Presidennya Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, kios minyak mungkin terpaksa ditutup kerana perniagaan mereka adalah berdasarkan isi padu.
Khairul berkata, mekanisme baharu itu sepatutnya adil bukan sahaja untuk pengguna akhir malah bagi pembekal dalam keadaan golongan itu sedang melalui proses pemulihan akibat kesan wabak Covid-19.
“Jika harga bahan api naik, kami berdepan masalah kewangan teruk akibat penurunan jualan dan kos lebih tinggi susulan kehilangan sejatan dan caj kad kredit.
“Paling teruk akan terkesan adalah stesen yang menjual minyak gred lebih tinggi kerana akan mengambil masa berbulan-bulan sebelum dapat habis menjualnya,” katanya.
Menurutnya, subsidi bersasar akan meningkatkan inflasi dan kadar penghantaran.
Khairul berkata, harga minyak sepatutnya naik secara beransur-ansur, bukannya melonjak. Selain itu katanya, semua bentuk subsidi wajar diberikan sebagai bantuan kewangan secara terus kepada golongan yang berkenaan.
“Kami berharap kerajaan dapat duduk dengan kami, golongan peniaga, untuk membincangkan kesannya secepat mungkin,” katanya.