
Bekas timbalan perdana menteri itu juga menolak hujah pihak pendakwaan bahawa dia melakukan pecah amanah jenayah apabila wang itu dipindahkan kepada Tetuan Lewis & Co pada 2016.
Zahid, yang memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan, berkata, Mazlina melakukan banyak kesilapan dalam mengendalikan ceknya dan juga gagal memberikannya penyata bank bulanan yayasan itu.
“Beliau hanya meminta maaf atas kesilapannya walaupun saya menegur dan membimbingnya dalam kerjanya.
“Beliau mengulangi kesilapannya dan saya tiada pilihan selain memastikan wang yang disimpan di bank dipindahkan ke firma guaman,” kata Zahid ketika diperiksa peguamnya, Ahmad Zahidi Zainal.
Pemindahan wang itu adalah satu daripada 12 tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dihadapi presiden Umno itu.
Zahid berkata, beliau mahu wang itu dikendalikan oleh firma guaman yang mempunyai akauntan bertauliah dan kepakaran lain dalam mengendalikan akaun pelanggan.
Beliau berkata, firma guaman itu diperkenalkan kepadanya oleh rakan peguamnya, Sashi Menon.
Pada 9 Mac tahun lepas, pihak pendakwaan mendedahkan RM17.9 juta daripada Yayasan Akalbudi dikeluarkan oleh Zahid tanpa kelulusan lembaga pemegang amanah yayasan amal itu.
Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fazli Zulkifli berkata, wang itu digunakan untuk pembelian saham dalam sebuah syarikat untuk anak perempuan Zahid, Nurulhidayah, serta disimpan sebagai deposit tetap.
Fazli berkata, wang itu dipindahkan ke dalam akaun pelanggan Lewis & Co, dan Zahid, yang juga pengasas Yayasan Akalbudi, mengarahkan firma guaman itu untuk menguruskan wang tersebut.
Hari ini Zahid berkata, beliau ingin menegaskan bahawa RM17,953,185.21 yang dikreditkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman itu masih milik Yayasan Akalbudi dan bukannya Yayasan Al Falah, Lewis & Co, atau mana-mana pihak lain.
Zahid, 69, berdepan 47 tuduhan termasuk 12 tuduhan CBT, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.