Longgar Akta Pendidikan punca bahasa Melayu gagal jadi bahasa ilmu

Longgar Akta Pendidikan punca bahasa Melayu gagal jadi bahasa ilmu

Akta itu memberi kuasa kepada menteri pendidikan atau menteri pengajian tinggi meluluskan penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kemasukan pelajar asing.

Bekas ketua pengarah pendidikan tinggi, Mohamed Mustafa Ishak berkata, bagi mendapatkan pelajar antarabangsa secara ramai dan segera, maka isu bahasa dikompromi.
PETALING JAYA:
Akta Pendidikan 1996 yang memberi kelonggaran kepada menteri pendidikan atau menteri pengajian tinggi meluluskan penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar menjadi punca kegagalan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Bekas ketua pengarah pendidikan tinggi, Mohamed Mustafa Ishak berkata, kesan terhadap bahasa kebangsaan itu semakin buruk hasil tindakan universiti awam (UA) dan swasta menarik pelajar asing sebagai indeks prestasi utama (KPI) kerana memberi punca pendapatan tinggi melalui yuran.

Katanya, kelonggaran itu diperuntukkan dalam usaha memastikan agenda pengantarabangsaan UA dan swasta, melangkaui kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sekali gus menyebabkan ia dikompromi sehingga peranannya menemui titik noktah.

“Akibat kelonggaran ini dan barangkali penguatkuasaan, kita pejam sebelah mata kerana melihat agenda pengantarabangsaan IPT (institut pengajian tinggi) lebih penting tetapi tidak digerakkan usaha secara sekali gus untuk mengembangkan bahasa Melayu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mustafa berkata, menerusi peruntukan sama, ratusan program berkembar, khususnya membabitkan institusi pengajian swasta, dibuat bersama universiti luar negara dengan hampir semuanya menggunakan bahasa Inggeris bagi menarik kemasukan pelajar asing.

“Bagi mendapatkan pelajar antarabangsa dengan ramai dan segera, isu bahasa dikompromi kerana kalau mereka mahu lakukannya dalam bahasa Melayu, barangkali ia mengambil masa atau kurang menarik kepada pelajar asing, maka kalau guna bahasa Inggeris tidak akan memberi masalah,” katanya.

Pada 26 Feb, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu bahasa Melayu digunakan bagi setiap urusan rasmi kerajaan termasuk lawatan kerja di luar negara bagi memperkasa bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun Ismail berkata, jika negara tuan rumah menggunakan bahasa Inggeris, maka Malaysia mempunyai pilihan untuk menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

“Untuk persidangan antarabangsa pun mulai sekarang kita akan gunakan bahasa Melayu,” katanya.

Pada Ahad, Ismail berharap skop kerjasama antara negara Asean dapat dirancang lebih rapi supaya bahasa Melayu kembali dijadikan “lingua franca”.

Beliau berkata, ini termasuk dalam aspek penyelidikan, penerbitan dan pemupukan bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri, khususnya dalam kalangan negara Asean dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi Asean,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.