
Dalam kenyataan semalam, Ketua Pengarahnya Mohd Shafiq Abdullah berkata, etika berpakaian itu juga bertujuan untuk memastikan keharmonian dalam budaya berbilang bangsa.
Katanya, ia selaras dengan prinsip Rukun Negara.
Shafiq berkata, JPA akan terus memperkukuhkan program latihan petugas kaunter di barisan hadapan dan menyebarkan kefahaman sedia ada mengenai etika berpakaian pelanggan.
“Pada masa yang sama, selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan platform digital dalam urusan perkhidmatan awam, Keluarga Malaysia digalakkan berurusan secara dalam talian melalui aplikasi atau portal yang telah disediakan.
“Ini secara tidak langsung dapat mempercepatkan akses kepada perkhidmatan yang disediakan selain mengurangkan kerenah birokrasi,” katanya selain menambah bahawa terdapat 389 platform perkhidmatan secara dalam talian yang dibangunkan oleh Putrajaya.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham mengkritik etika berpakaian yang dikenakan di pejabat kerajaan, termasuk daripada Cuepacs, badan yang menaungi kesatuan perkhidmatan awam, dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Ngeh menggesa Putrajaya mengambil tindakan terhadap ketua jabatan yang menafikan perkhidmatan kepada orang ramai disebabkan etika berpakaian lebih ketat yang dikenakan.
Beliau mendakwa, tiada undang-undang yang memberi kuasa kepada pegawai kerajaan untuk menetapkan pakaian bagi mereka yang mendapatkan perkhidmatan di pejabat kerajaan.
Pejabat kerajaan biasanya mengharamkan kasut terbuka, kemeja-T dan pakaian “mendedahkan”, dengan laporan terbaru menunjukkan orang ramai ditolak kerana tidak mematuhi etika berpakaian.