Pejuang kanser Tahap 4 kayuh 2,370km ziarah insan senasib

Pejuang kanser Tahap 4 kayuh 2,370km ziarah insan senasib

Zaki Yahya, 50, pernah lumpuh selama enam bulan akibat rawatan kimoterapi dan radioterapi.

Zaki Yahya semakin serasi dengan ‘kuda besi merah’ yang dihadiahkan individu tersentuh dengan kegigihannya.
PETALING JAYA:
Amanat sembilan rakan yang tewas kepada kanser menjadi sumber kekuatan untuk seorang pejuang kanser menjayakan misi berbasikal ke seluruh negara bagi memberi semangat kepada individu senasib.

Pesanan rakan-rakan yang dirawat di Institut Kanser Negara (IKN) pada Oktober 2017 masih segar di ingatan Zaki Yahya, 50, untuk terus berjuang menentang kanser pangkal hidung Tahap 4 ketika semangat juangnya hampir luntur dek penangan rawatan kemoterapi dan radioterapi yang menyeksakan.

“Dalam tempoh setahun, saya jalani 35 kali rawatan kemoterapi dan 35 kali radioterapi.

“Kemudian hampir enam bulan saya lumpuh kesan daripada rawatan itu dan hanya terlantar di rumah di Sijangkang, Kuala Langat,” katanya kepada FMT selain menambah bahawa isteri tercinta, Siti Aisah Ismail setia menemani dan menjaganya sepanjang tempoh itu.

Walaupun fizikalnya ibarat patung bernyawa, namun memori Zaki masih kuat dan tidak lupa pesanan sembilan rakannya supaya menziarah pesakit kanser lain, jika kesihatannya kembali pulih.

Rakan menziarah Zaki Yahya (tengah) ketika beliau bertarung dengan kanser pada 2017.

Berkat doa banyak pihak dan rawatan yang berterusan, Zaki mula bergerak secara perlahan-lahan. Daripada menggunakan alat bantuan seperti tongkat dan kerusi roda sehinggalah berjalan sendiri, beliau menggagahkan diri untuk merealisasikan impian menjelajah seluruh negara dengan berbasikal.

“Pada mulanya saya merancang berjalan kaki menziarah sahabat senasib, tetapi isteri tidak benarkan kerana khuatir kesihatan saya belum pulih sepenuhnya dan dia beri idea agar saya berbasikal, jika ingin meneruskan niat itu.”

Zaki memulakan kayuhan jelajah ziarah sahabat kanser di Selangor pada 2020 dan meneruskan misi itu ke utara, bermula dengan Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Bekas eksekutif kanan di Miri, Sarawak itu kemudian melengkapkan misi jelajah ziarah di Semenanjung pada 8 Mei lalu, bermula di Negeri Sembilan, Melaka, Johor, kemudian menyambung kayuhan ke Pahang, Terengganu dan akhir sekali Kelantan.

Zaki dijangka menamatkan kayuhan jelajah ziarah sahabat kanser di seluruh Semenanjung pada 28 Mei ini dengan Kota Bharu, Kelantan menjadi destinasi terakhir, dan beliau menjadi pesakit kanser pertama di negara ini yang berjaya melengkapkan misi itu.

Secara keseluruhannya, beliau akan berkayuh sejauh 2,370km bagi menamatkan misi jelajah ziarah itu. Kayuhan enam negeri di selatan dan pantai timur ketika ini adalah antara yang paling lama, iaitu kira-kira 20 hari tanpa henti.

Kesan daripada rawatan kanser, badan Zaki Yahya tidak mengeluarkan peluh, walaupun ketika melakukan aktiviti lasak dan beliau pernah pengsan beberapa kali ketika berbasikal.

Sepanjang tempoh itu, beliau turut menyampaikan sumbangan barangan dan duit raya yang diterima daripada beberapa NGO kepada 140 pesakit kanser yang dikunjunginya.

Berkongsi cabaran sepanjang menjayakan misi itu, bapa kepada lima cahaya mata ini berkata, fizikalnya cepat berasa letih, ditambah badannya tidak mengeluarkan sebarang peluh walaupun melakukan aktiviti lasak benar-benar mencabar minda.

“Kesan daripada rawatan kanser, badan saya sekarang memang tidak mengeluarkan peluh dan selalu berlaku ‘black out’ (pitam). Saya pernah pengsan beberapa kali ketika berbasikal,” katanya yang semakin serasi dengan “kuda besi merah” yang dihadiahkan oleh individu yang tersentuh dengan kegigihannya.

Zaki berkata, jika kesihatannya mengizinkan, beliau berhasrat berkayuh di Sabah, Sarawak dan Brunei untuk melengkapkan kayuhan jelajah ziarah sahabat kanser 1Malaysia pada Disember ini.

Beliau turut menyimpan hasrat berkayuh ke Mekah.

“Pada 2024, sekiranya ada rezeki, saya akan berkayuh dari Malaysia ke Mekah,” katanya dengan menambah bahawa kanser bukan penamat bagi kehidupan, tetapi permulaan kepada perubahan dalam kehidupan.

Beliau masih menerima rawatan susulan di IKN dan Hospital Putrajaya setiap tiga bulan serta lapan bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.