
MIDF Amanah Investment Bank Bhd menerusi cabang penyelidikannya, MIDF Research berkata, sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia amat terdedah kepada sebarang kejutan global berkaitan rantaian bekalan.
“Inflasi makanan global kekal tinggi terutamanya harga jagung, bijirin dan sayur-sayuran,” katanya dalam nota ekonomi hari ini.
“Bagaimanapun kami berpendapat tekanan inflasi secara keseluruhannya akan kekal stabil berikutan inflasi bahan api yang berada dalam aliran penurunan.”
Menurut bank pelaburan itu, penyusutan inflasi bahan api tersebut akan menampung kenaikan inflasi makanan dengan mengandaikan kerajaan mengekalkan had harga semasa minyak RON95 dan diesel.
“Dalam laporan kami ‘Oil Exports Rebound & Inflation Concerns,’ kami mengunjurkan bahawa inflasi keseluruhan Malaysia akan kekal bawah 3.0% biarpun sekiranya purata inflasi makanan pada +5.0% manakala harga bahan api semasa pada paras sedia ada.
“Namun jika purata inflasi makanan melonjak kepada 10.0%, purata inflasi keseluruhan akan berada pada 4.6%,” katanya.
Menurutnya, dalam senario buruk, purata inflasi keseluruhan diunjurkan pada 8.9% jika kerajaan memilih untuk mengapungkan harga bahan api manakala purata inflasi makanan pada 10.0%.